Sunday, May 31, 2009

Utusan serang Husam

Pemilihan peringkat tertinggi kepimpinan PAS tinggal 4 hari sahaja lagi. Walau banyak jawatan yang dipertandingkan, ramai tumpuan diberikan kepada pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang melibatkan tiga tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada para perwakilan.

Semakin hampir saat pemilihan, semakin kedengaran suara suara yang cuba menidakkan proses penyuburan demokrasi dalam parti. Sebagai parti yang berpegang kepada konsep demokrasi dan musyawarah, terserah kepada calon samada ingin bertemu perwakilan, berdiskusi atau berdialog. Calon juga berhak untuk mendiamkan diri tanpa mengatur sebarang pertemuan, berdiskusi atau berdialog. Terserah kepada budi bicara dan pertimbangan calon.

Calon yang bergerak dan berjumpa dengan perwakilan tidak boleh disalahkan atau dengan kata lain dianggap memecah atau melanggar tradisi parti. Kemahuan dan kesungguhan turun ke bawah berjumpa perwakilan haruslah diberi pujian. Tidak timbul soal berkempen. Calon umumnya sudah dikenali dan sudah dinilai oleh para perwakilan. Akan tetapi, bila ada usaha demikian, ia sebenarnya lebih merapatkan lagi hubungan pemimpin dengan parwakilan yang rata rata adalah pemimpin di peringkat kawasan. Ianya lebih baik dari berdiam diri kerana ia akan melahirkan sifat kurang kemesraan dan kurang semangat untuk rajin meninjau masalah di peringkat akar umbi. Cuma haruslah diingat, biarlah ianya berlangsung dalam suasana penuh ketertiban dan kerukunan parti Islam yang kita junjung.

Apa yang sepatutnya dielakkan ialah campur tangan pihak luar yang cuba mencucuk jarum dalam kejernihan dan ketenangan pemilihan parti kita. Sikap Utusan Malaysia (lidah bercabang resmi UMNO) yang mula menyerang pendirian dan kesanggupan Dato Husam bagi memikul amanah besar bagi meredah kongkongan hutan belantara besar UMNO adalah amat menjijikkan. Ada sesuatu yang dibimbangi oleh pihak musuh jika Dato Husam direstui perwakilan untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden sehingga mereka terpaksa merubah mood perwakilan dengan kupasan dan ulasan dangkal mereka.

Pengakuan Dato Husam bahawa tidak perlunya bergabung dengan UMNO kerana akan mengakibatkan kemaraan sokongan parti PAS akan tersekat adalah satu wadah besar yang amat digeruni oleh UMNO. Sesuatu cuba dilakukan mereka agar perwakilan dapat dipengaruhi dan sokongan kepada Dato Husam dapat dialihkan kepada pihak yang lain.

Adalah sesuatu yang amat malang jika perwakilan PAS dibutakan mata oleh Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment