Sunday, May 31, 2009

Utusan serang Husam

Pemilihan peringkat tertinggi kepimpinan PAS tinggal 4 hari sahaja lagi. Walau banyak jawatan yang dipertandingkan, ramai tumpuan diberikan kepada pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang melibatkan tiga tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada para perwakilan.

Semakin hampir saat pemilihan, semakin kedengaran suara suara yang cuba menidakkan proses penyuburan demokrasi dalam parti. Sebagai parti yang berpegang kepada konsep demokrasi dan musyawarah, terserah kepada calon samada ingin bertemu perwakilan, berdiskusi atau berdialog. Calon juga berhak untuk mendiamkan diri tanpa mengatur sebarang pertemuan, berdiskusi atau berdialog. Terserah kepada budi bicara dan pertimbangan calon.

Calon yang bergerak dan berjumpa dengan perwakilan tidak boleh disalahkan atau dengan kata lain dianggap memecah atau melanggar tradisi parti. Kemahuan dan kesungguhan turun ke bawah berjumpa perwakilan haruslah diberi pujian. Tidak timbul soal berkempen. Calon umumnya sudah dikenali dan sudah dinilai oleh para perwakilan. Akan tetapi, bila ada usaha demikian, ia sebenarnya lebih merapatkan lagi hubungan pemimpin dengan parwakilan yang rata rata adalah pemimpin di peringkat kawasan. Ianya lebih baik dari berdiam diri kerana ia akan melahirkan sifat kurang kemesraan dan kurang semangat untuk rajin meninjau masalah di peringkat akar umbi. Cuma haruslah diingat, biarlah ianya berlangsung dalam suasana penuh ketertiban dan kerukunan parti Islam yang kita junjung.

Apa yang sepatutnya dielakkan ialah campur tangan pihak luar yang cuba mencucuk jarum dalam kejernihan dan ketenangan pemilihan parti kita. Sikap Utusan Malaysia (lidah bercabang resmi UMNO) yang mula menyerang pendirian dan kesanggupan Dato Husam bagi memikul amanah besar bagi meredah kongkongan hutan belantara besar UMNO adalah amat menjijikkan. Ada sesuatu yang dibimbangi oleh pihak musuh jika Dato Husam direstui perwakilan untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden sehingga mereka terpaksa merubah mood perwakilan dengan kupasan dan ulasan dangkal mereka.

Pengakuan Dato Husam bahawa tidak perlunya bergabung dengan UMNO kerana akan mengakibatkan kemaraan sokongan parti PAS akan tersekat adalah satu wadah besar yang amat digeruni oleh UMNO. Sesuatu cuba dilakukan mereka agar perwakilan dapat dipengaruhi dan sokongan kepada Dato Husam dapat dialihkan kepada pihak yang lain.

Adalah sesuatu yang amat malang jika perwakilan PAS dibutakan mata oleh Utusan Malaysia.

Minah Ronggeng Tersungkur Di Atas Pentas

Sehingga jam 7.10 malam, Si Minah Ronggeng tersungkur jua. Walau iklannya hebat, hari hari keluar TV woooo.., akhirnya dia kecundang jua. Dr Mansor Othman masih mendahului dengan 5,309 undi, diikuti Minah Ronggeng 329 undi , Nan Khan Ari 301 undi dan Kamarul Ramizu 44 undi. Kemana mereka selepas ini??? Ke Manik Urai?????? Hubaya hubaya.... lagi manyak bahaya woooo...

Kerana Bukan Melayu???

Sekiranya, Chin Peng itu Melayu atau sudah memeluk Islam, apakah kerajaan Malaysia tetap menolak hasrat kepulangannya ke Malaysia?

Sekiranya, Rashid Maidin itu Cina, apakah Dato Zahid (Sewaktu KP UMNO) sanggup menerima kunjungan beliau?

Sekiranya Abdullah CD itu Cina, apakah Tun Hanif Omar dan Dato Seri Aziz Shamsudin dan YDPA (Sultan Azlan Shah) sanggup bergambar dengan beliau penuh kemesraan bagai ditatang minyak yang penuh?

Sekiranya Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh itu Cina, apakah kerajaaan Malaysia akan membenarkan mereka pulang ke Malaysia?

Sekiranya, Najib Lazak, Bapak Kepala Menteri itu bukan Melayu, dan Altantuya itu Melayu, apakah orang Melayu (UMNO) tetap mendiamkan diri seperti sekarang?

Salahkah ambo sekadar bertanya? Ambo bukan komunis atau pun anak komunis.....

Ahli UMNO siksa di Penanti.

Hari ini warga Penanti akan membuat keputusan samada kekal bersama PKR dan mendapat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang baru atau terpaksa mendapat kakak angkat baru Kak Min, yang dikenali sebagai Minah Ronggeng oleh Azmin Ali.

Walaubagaimana pun pemilihan ini kononnya tidak melibatkan 5 ribu ahli UMNO yang dilarang keras keluar mengundi oleh pimpinan UMNO seperti mana yang telah ditegaskan oleh Si Khairy Jamaluddin, KP UMNO dan Dato Zainal Abidin Osman, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

UMNO larang ahlinya keluar mengundi kerana takut petugas petugas kenderaan yang mengangkut pengundi akan membuat tuntutan kewangan. Dahlah dikatakan ahli ahli UMNO sudah pun hampir mati kelaparan kerana tiada lagi upah jalan rumah ke rumah, tiada lagi upah pasang poster, tiada lagi upah panjat pokok kelapa. Masuk kedai kopi macam orang dungu. Nak buka mulut pun tak boleh. Kesian UMNO...

Saturday, May 30, 2009

Tok Guru Di Singapura

Difahamkan sebentar tadi Tok Guru berada di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menziarahi Tuanku Sultan Kelantan yang masih dirawat di sana. Bersama dengan beliau ialah Dato' Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Mereka berdua dijangka mengadap Tengku Mahkota sebentar lagi.

Suara Dato Mat Zin Ibrahim

Dato Mat Zin Ibrahim, Bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur telah membayangkan kes kebangkrapan yang diterimanya ada kaitan dengan kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim yang akan dibicarakan pada 1 Julai nanti.

Beliau cukup yakin menjadi mangsa kepada kuasa kuasa berpengaruh yang akan menghalangnya dari memberi kenyataan terhadap Tan Sr Abdul Ghani Patail dan Tan Sri Musa Hasan di mahkamah berhubung dengan pemalsuan bukti berhubung kes mata lebam Dato Seri Anwar Ibrahim tahun 1998.

Takkan Dato tak tau, negara ni ibarat filem hindustan je.....

Friday, May 29, 2009

Najib mula berani keluar negara

Semenjak bergelar Bapak Kepala Menteri Malaysia hampir 3 bulan, DS Najib hanya berani ke Indonesia, Brunei dan Thailand. Itu pun di Thailand terpaksa lari dan pulang lintang pukang setelah dihalau oleh perusuh anti kerajaan yang mengamuk di Pattaya semasa Sidang Kemuncak Asean hampir berlangsung.

Pada 1 dan 2 Jun nanti DS Najib akan ke Pulau Jeju, Korea bagi menghadiri sidang Kemuncak Peringatan ASEAN - Korea Selatan serta ke negara China dari 2 hingga 5 Jun. Sebelum ini beliau kelihatan teragak agak untuk keluar negara kerana 11 media antarabangsa seluruh dunia memaparkan kisah pembunuhan wanita Mongolia yang turut dikaitkan dengan beliau.

Apa yang perlu diingatkan ialah pihak berkuasa Mongolia mungkin sentiasa memerhati pergerakan Bapak Kepala Menteri Malaysia ini. Jangan sampai tertangkap dan diekstradisi ke Mongolia sudahlah. Nanti DS Najib akan dkenang sebagai Bapak Kepala Menteri tersingkat dalam sejarah Malaysia mengatasi pencapaian Pak Lah yang telah 'dibersarakannya'.

Jika itu berlaku, sedikitkah rakyat bakal tersenyum kelat???

Thursday, May 28, 2009

Najib Baru Terkejut Kekejaman Along

"Oopoccooot!!! Terkejut betul saya dengan kekejaman along!!! ", tegas Najib sebentar tadi. Hi ...Hi ...Hi ....

"Haaaahhh!!! Terkejut beruk ambo pasal Najib baru terkejut!!!!" Ha... Ha... Ha.....

"Apaaaaa?????? Ambo lagi terkejut sebab ada orang Mongolia kena bunuh secara kejam di Malaysia!!!" Hu... Hu... Hu...

MSO Umum Gencatan Senjata

Atas nama manusia, ia akan tetap ada sifat kemanusiaan. Walau marah, walau geram atas apa jua alasan akan ada di hati kecil secebis perasaan kemanusiaan yang boleh mewaraskan pertimbangan dan mengenepikan perasaan. Ambo salute. Ambo tabik spring. Demikian MSO yang telah menghentikan sementara 'Diary Maya MSO' kerana menghormati sahabatnya Dato Husam yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS minggu depan.

Walau ramai melihat dia seperti berdendam besar, menghentam membuta tuli, atau ada mempunyai kes yang berat yang tak boleh diselesaikan secara aman, rupanya terdetik juga untuk beliau membuat pertimbangan yang adil yang mungkin selepas ini akan ada 'cahaya terang dihujung terowong'. Elok sangatlah tu. Lebih lebih lagi selama ini pun Dato Husam hanya mendiamkan diri. Mungkin dia masih terkenang kisah kisah manis semasa bersahabat.

Chin Peng Kekal di Luar

Permohonan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya sendiri ditolak. Walaupun dia sudah tua dan sudah tidak merbahaya, kerajaan Malaysia menolaknya atas asas kejiwaan dan menjaga hati keluarga perajurit yang sudah terkorban.

Salahkah terkadang hati kita bertanya benarkah Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD memang seorang berhati komunis atau seorang pejuang kemerdekaan yang telah terperangkap dengan helah politik British? Bermula dengan anti penjajah, kemudiannya dituduh berhaluan kiri, kemudiannya dianggap pemberontak dan akhir sekali menyertai komunis telah dianggap musuh negara oleh British dan pimpinan UMNO pada waktu itu. Mereka berundur ke dalam hutan akibat tekanan British. Masyarakat pada waktu itu melihat mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Yang malangnya, UMNO pula pada waktu itu terikut ikut dengan rentak British. Akhirnya perjuangan mereka semakin jauh. Lipatan sejarah tak boleh dipadamkan di bawah karpet merah.

Apa makna kepada penolakan tersebut. Shamsiah Fakeh dibenarkan. Abdullah CD dibenarkan. Musa Ahmad dibenarkan. Kalau setakat nak jaga hati keluarga perajurit yang terkorban, itu cuma alasan saja. Cuba bayangkan kepala perompak, kepala penyamun, kaki bunuh, kaki rogol dan yang seangkatan dengannya berapa ramai ada dalam negara kita. Mereka lagi berbahaya. Mereka tidak ada semangat cintakan negara. Mereka berbuat apa yang mereka suka. Tetapi mereka tetap di Malaysia. Tidur bangun di Malaysia. Celik mata mula fikir nak merompak kat mana. Celik mata mula fikir nak bunuh siapa. Bagaimana hati keluarga yang telah dibunuh? Kes Mustakizah. Kes Norita dan banyak lagi. Sepatutnya mereka inilah yang tidak layak berada dalam negara kita dan patut dihalau keluar . Terkadang tu pulak mereka mendapat perlindungan secara rahsia atau keistimewaan dari pihak pemerintah. Ada yang tidak didakwa kerana tidak ada bukti dan ada juga yang telah didakwa akhirnya dibebaskan atas alasan kekurangan bukti. Pirraaahh....

Thailand pulak yang bermurah hati. Memberi lot kediaman secara percuma. Bebas berkampung dan bercucuk tanam. Inilah Tanah Melayu, tanahairku yang kini di gelar Malaysia...

Wednesday, May 27, 2009

Maslan Mengidam Manik Urai

Belum pun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, Ahmad Maslan Ketua Penerangan UMNO yang jugak Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah melancar peluru meriam sarafnya dengan membayangkan Dun Manik Urai akan dirampas kembali dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung berdasarkan UMNO pernah memenangi Dun berkenaan pada tahun 1978 dan 2004 dan juga dikatakan wujud perubahan sikap di kalangan pengundi terutamanya pengundi muda yang mula memihak kepada UMNO. Beliau membayangkan PAS bakal menggigit jari dan Dun Manik Urai bukan lagi menjadi ukuran kepada kekuatan PAS.

Perkiraan Ahmad Maslan terlalu mudah dan dangkal. Beginilah selalunya ucapan pemimpin pemimpin UMNO maupun Bapak Kepala Menteri sebaik saja bila turun ke kawasan pilihanraya kecil. Dengan memasuki kawasan pilihanraya kecil baru sehari dua, kemudiannya berlepas pulang ke Kuala Lumpur sudah boleh membaca sifir 5 X 2 = 10. Kalau sifir ni, anak ambo umur 4 tahun pun dah hafal. Sifir politik bukan mudah. Banyak acuan perlu diambil kira. Tu tak kira lagi belanja untuk kain sarung dan pelikat, gula, ikan sardin dan lain lain lagi termasuk projek mee segera atau soal lobi melobi, cah keting dan bidas telinga kawan. Semua tu dah selalu berlaku dalam politik UMNO. Kalau setakat nak jadikan penyedap hati dan halwa telinga ahli ahli UMNO bolehlah, tetapi jika nak buat 'bacaan politik', penoreh penoreh getah dari Thailand yang sebahagiannya memonopoli ladang ladang getah di sini pun tak akan percaya.

Walaupun Dun Manik Urai dikira kawasan pedalaman, janganlah dianggap ia sama dengan Dun Batang Ai di Sarawak. Boleh bayar situ sini. Boleh gertak situ sini. Ketua Rumah Panjang pula boleh dibawa melancong sampai ke Kuching. Sini susah nak bayar. Susah nak gertak. Tok Penghulu tak makan pujuk. Apatah lagi pengundi pengundi di Dun Manik Urai yang sudah masak dengan gelagat dan kerenah pemimpin UMNO yang suka 'menggoreng rakyat'.

Jiwa orang Kelantan termasuk juga di Dun Manik Urai sudah reti dengan auta dan buaya besar pemimpin pemimpin UMNO. Kalau setakat turun ke kawasan dengan mulut senyum sampai ke telinga, pakai baju kain linen keras bagai kertas poster, pakai pulak kereta besar besar, bini pulak pakai baju colour colour dengan kening dicukur dan dialis lentik, tudung nipis pulak melayang layang, nampak gaya hasrat Ahmad Maslan tak kemana. Sebelum nak memenangi hati rakyat, ubahlah persepsi dan sikap tu dulu. Rakyat dah berbulu dan rasa nak muntah dengan pe'el sedemikian.

Tapi PAS pun tak boleh tidur lena. Zaman Kesultanan Melaka ada seorang Sultan pernah membunuh rakyat semata mata nak mendapatkan nangka untuk isteri yang mengidam di Istana. UMNO pun lebih kurang halal saja. Tengok apa yang berlaku di Perak. Silap haribulan berlaku juga di Manik Urai. Na'uzubillah...... Jangan terlalu selesa dengan apa yang ada di depan mata. Terkadang mata kita pun naik rabung. Ramai sangat menari nari. Yang bermuka muka pun mengambil kesempatan. Gerakkerja harus rapi. Telinga kena check sound elok elok. Dengar keluh kesah rakyat. Jangan buat pekak badak. Cepat bertindak.

Jangan pulak musim hujan ni dok berebut pakai jubah putih dan serban besar. Dun Manik Urai taklah sama dengan Dun Pengkalan Pasir. Banyak bukit bukau, ladang ladang getah dan jalan jalan kampung yang masih kerap becak. Memadai baju lengan pendek dan berketayap. Menyinsing seluar lebih mudah dari menyinsing jubah. Mudah bergerak dan berkerja.

Biarkan Ahmad Maslan mengidam dengan Manik Urainya....



Penanti Bakal Menangis

SPR akan berkerjasama dengan SPRM bagi menyiasat dakwaan berlakunya sogokan wang tunai dan jawatan oleh Parti Keadilan Rakyat kepada calon Bebas, Puan Aminah Abdullah seperti yang didakwa berlaku awal Mei lalu. Sekiranya dakwaan tersebut benar, dan calon yang yang terlibat memperolehi kemenangan, SPR tidak akan teragak agak untuk membatalkan kemenangan tersebut. Inilah sifat buruk sangka yang diutarakan oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR yang dilabelkan sekutu UMNO yang sewaktu dengannya.

Umum sudah dimaklumkan oleh Sdr Saifuddin Nasution, Pengarah Pilihanraya PKR bahawa ianya melibatkan 2 orang sahabat lama calon Bebas berkenaan yang telah dijemput berkunjung ke rumahnya. Ambo sendiri tidak dapat mengagak apa tujuan sebenar 2 orang sahabat lama bersembang politik sehingga memerangkap diri sendiri. Kalau benar sekali pun, apakah ia atas inisiatif sendiri ataupun sudah mendapat signal dari pihak atasan PKR.

Walau apa pun pandangan, yang pasti nama Dr Mansor Othman tidak dikaitkan dan sememangnya kita mengharapkan ianya tidak melibatkan calon PKR yang bertanding. Jika tidak, Penanti bakal menangis...

Tuesday, May 26, 2009

Perak Hampir Bubar

Ada khabar dari Ipoh, Dewan Undangan Negeri Perak bakal bubar ! Diharapkan bukan lagi khabar angin. Insya Allah rakyat Perak tidak lagi makan khabar angin. Nanti masuk angin. Gerenti naik angin.

Bersedia!!!

Dilema Dato Wa

Prestasi Kelantan semakin merudum. Selepas mencipta nama ke Final Piala FA, kekalahan demi kekalahan berterusan. Tewas 5 kali berturut turut dengan Negeri Sembilan (2-0), Johor FC (2-1), Perlis (2-0), Perlis (2-1) dan KL Plus (2-1) semakin memeningkan Dato' Wa selaku Presiden KAFA. Keluhannya makin ketara. Beliau dikatakan tak mampu lagi untuk membuat perancangan masa depan melainkan sekadar mendengar pandangan pemain, jurulatih dan pihak pengurusan. Kerugian Rm30 ribu setiap perlawanan ekoran lokasi permainan di pindah ke Stadium Bukit Jalil turut mencengkam pemikirannya. Esok (Rabu), mesyuarat akan diadakan bagi menentukan hala tuju pasukan Bolasepak Kelantan seterusnya. Adakah Presiden atau Pasukan yang berundur...

Pengguguran beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan turut memberi kesusahan yang menimpa. Banyak kera kera yang meniti di dahan bongkok mula mencari dahan yang lain. Biasalah.... di mana ada dahan bongkok di situlah ada kera kera menumpang lalu. Anak anak buah dah mula pandai main senggol sengolan. Sindir menyindir tak payah lah cerita. Kedai Ketereh mula sibuk berbincang pasal penurunan saham Dato Wa ini. Orang orang kanan dah mula jadi puak puak berhaluan kiri. Markah protege di Kok Lanas sudah memakan diri mentornya. Kuncu kuncu puak berhaluan kiri mula bertanya, lambat lagi ke nak lepas jawatan Ketua Bahagian ni. Dato Wa dihiris sembilu.

Tanggal 31 Mei 2009 bakal menjadi mimpi ngeri. Khabarnya jawatan Pengerusi KADA bakal beralih tangan. Apa lagi yang ada...

Nik Amar Dinilai

Kekosongan ketiga tiga jawatan Naib Presiden PAS mebuka ruang dan peluang untuk diisi oleh muka muka baru. Difahamkan ada 5 nama yang telah bersedia untuk menawarkan diri ke jawatan berkenaan. Mereka ialah Salahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Nik Amar Nik Abdullah, Mujahid Yusof Rawa dan Dato' Mahfuz Omar.

Kelima lima calon ada kelayakan. Peluang adalah sama rata. Soalnya sekarang apakah nanti Dato Nik Amar , Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kelantan akan diberi peluang untuk mengisi salah satu kekosongan di jawatan tersebut. Umum melihat, Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man hampir pasti terpilih. Jika diamati kepada 3 calon lagi yang masih tinggal, Nik Amar memiliki peluang yang amat cerah dan sememangnya patut diberi peluang oleh perwakilan. Anak kepada arwah Pak Nik Lah ini dilihat amat serasi dengan pimpinan Tok Guru Nik Aziz dan tidak menimbulkan banyak kontroversi. Bersikap merendah diri dan beliau dilihat salah seorang pemimpin pelapis yang boleh diharapkan bukan sahaja di Kelantan bahkan juga amat diperlukan di peringkat Pusat bagi meneruskan kesinambungan Kepimpinan Ulamak.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Dato Ahmad Yakob telah memenangi jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulamak tanpa bertanding, manakala Timbalan Pesuruhjaya 2, Dato Husam Musa semalam telah menawarkan diri untuk mencabar jawatan Timbalan Presiden. Terserah kepada perwakilan untuk menentukan Tuah atau Nasib kepada mereka berdua.

Monday, May 25, 2009

TMK dilantik Pemangku Raja

Majlis Perajaan Negeri telah bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris Petra, anakanda sulung kepada Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan menjadi Pemangku Raja Kelantan mengikut Perenggan (b)Fasal (1) Dan (3) Perkara 22A Undang Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) berkuatkuasa 24 Mei 2009 sehingga Tuanku Sultan Kelantan sembuh dari kegeringan.

Kini Baginda menjalani rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura setelah didapati menghadapi masalah jantung. Doa..

Akhil Hayy Bermain Api

Apa dah jadi dengan Ust Rock sorang ni. Semalam isterinya, Maizawati Zainal mula bersuara. Ust Rock dah tak pulang rumah dan jenguk anak anak sejak Febuari lagi. Langsung tak tahu dimana Ust Rock bertapa sekarang. Rumah madu atau di Sarang madu.Tak pernah diberitahu.

Rupanya benar kisah cerita cerita dengan Waheeda Wassini Ustazah Rock ni. Ust Rock dah minta izin buka sarang baru. Isteri benarkan walaupun sesak di dada. Entah sarang dah menjadi rumah belum dapat dipastikan.

Dah hampir 3 bulan tak balik rumah dah kira kes panas berapi. Nak kata keluar dakwah ikut tabligh tak mungkin. "Saya hanya mengetahui perkembangannya melalui media" jelas Maizawati yang memiliki 6 orang zuriat bersama Ust Rock.

Tak boleh salahkan isterinya membuka pekung ini. Dia perlu tahu di mana suaminya. Itu haknya sebagai seorang isteri. Tindakan memfailkan perceraian juga adalah tindakan terakhir yang terbaik untuk suaminya, dirinya dan anak anak.

Tertanya tanya kemana hilangnya ketayap dan kain serban ....

HusamTanding Timbalan Presiden

Jam 12 tengahari tadi Dato Husam telah mengesahkan penerimaan tawaran bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PAS. Pengesahan tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan Ust Nasharuddin Mat Isa selaku penyandang, Sdr Mohamad Sabu dan Dato Husam sendiri. Keputusan yang dibuat oleh Dato Husam di hari terakhir pencalonan ditutup ini menyebabkan timbul pelbagai andaian yang mengatakan beliau akan berkompromi dan menarik diri disaat saat akhir. Menyahut suara ahli di peringkat kawasan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar selaku orang nombor 2 parti bukanlah satu keputusan yang boleh dibuat sambil lewa lebih lebih lagi jika jumlah pencalonan diambil kira. Ramai yang melihat jumlah pencalonan yang tidak mencapai aras yang ditetapkan iaitu 40 pencalonan dari seluruh kawasan oleh beliau sendiri menyebabkan beliau teragak agak untuk membuat keputusan.

Ambo melihat di sini kelebihan Dato Husam. Beliau tidak perlu tergesa tergesa menyatakan kesanggupan. Jumlah pencalonan bukanlah ukuran yang mutlak. Kepintaran menguasai mood perwakilan adalah tindakan yang tepat. Kini terserah kepada perwakilan untuk menentukan posisi no 2. Ketertiban dan kerukunan pertandingan dalam parti Pas haruslah dikekalkan. Ahli melihat dengan penuh minat. Musuh melihat dengan penuh cermat.

Sunday, May 24, 2009

Tok Pa bungkus Dato Wa

Tok Pa nampaknya cuba mengambil langkah berani dalam menyusun semula nakhoda UMNO Kelantan semalam. Saki baki hanyir lendir tinggalan Dato Wa cuba dibersihkan sepenuhnya. Dato Ramzi yang juga anak butir Pak Lah yang sebelum ini menjawat Setiausaha Perhubungan telah diganti tokoh lain iaitu Dato Nor Zahidi ,Ketua UMNO Tumpat yang sebelum ini adalah Bendahari Perhubungan. Manakala jawatan Bendahari diberi kepada Hanafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas dan Ketua Penerangan diisi oleh Dali Husin, Ketua UMNO Pengkalan Chepa menggantikan orang kanan Dato Wa iaitu Dato Alwi Che Ahmad. Tindakan ini dilihat sebagai usaha bagi memperkuatkan kedudukan Tok Pa supaya tidak diganggu gugat oleh kuasa ghaib di belakang Dato Wa. Pengalaman silam mengajar Dato Pa agar berhati hati dengan Dato Wa. Semasa beliau menjadi Pengerusi Perhubungan sebelum ini, Dato Wa dan kuncu kuncunya telah memberi kata dua samada Tok Pa nak pegang Ketua Penerangan UMNO di Kuala Lumpur atau Pengerusi Perhubungan di Kelantan. Dato Wa telah menggunakan Dato Zaid yang ketika itu Ketua UMNO Kuala Krai sebagai kepala perangnya bagi memeningkan Tok Pa. Tok Pa juga amat terluka, setelah berjaya memberi nafas kepada UMNO Kelantan dalam pilihanraya 2004, Dato Wa sekali lagi menikam ke tusuk jantung nya setelah menggunakan isterinya yang sah iaitu Datin Rosniah (nama ni juga milik anak Sabahan yang pernah kukenang) mempengaruhi Datin Endon agar memujuk Pak Lah menyingkir Tok Pa dan melantik Dato Wa sebagai Pengerusi Perhubungan yang baru. Pak Lah terpedaya dan melantik Dato Wa. Tok Pa menangis tak berlagu waktu itu.

Bayangan Dato Wa perlu dihakis. Biarlah dia dengan tugas barunya di KAFA . Biar dia berterusan dibebani masalah KAFA. Biar dia berhempas pulas di situ. Lagi banyak masalah Dato Wa di KAFA, lagi seronok Tok Pa di kerusi barunya. Mana mana kuncu Dato Wa yang masih hidup elok di kurung di Wisma KAFA di Ketereh. Dato Wa kena beri motivasi kepada kuncu kuncunya. Bukan motivasi politik, tetapi motivasi semangat menyokong pasukan Kelantan. Bila prestasi Kelantan merosot akhir akhir ini, kuncu kuncunya yang berbaju merah yang selalu memenuhi ruang tempat duduk VIP sambil mengunyah buah anggur dan kekacang yang disediakan sudah tiada lagi. Ramai dah mula malas nak ke stadium. Akibatnya Dato Wa makin keseorangan. Adalah dua tiga kerat yang memang dah terpaksa menayang muka demi nak menyelesaikan beberapa hal yang masih tersangkut kat JPP. Dato Wa kena bina kekuatannya semula di sini. KAFA lah talian hayat yang masih ada. Samada boleh hidup semula atau mati terus bergantung kepada Dato Wa di Wisma KAFA.

Tok Pa kena bina imej groupnya sendiri. Dalam UMNO jika tak ada group tak sah. Soalnya apakah pilihan Tok Pa itu tepat? Tidak adakah lagi tokoh lain yang lebih berwibawa dan disegani di mata rakyat? Hari ini sudah ada pelbagai suara sumbang tentang lantikan berkenaaan. Rungutan seperti kaki projek, kaki karaoke, kaki lagak boleh menjejaskan kewibawaan Tok Pa. Kalau pimpinan UMNO sendiri kurang keyakinan, bagaimana Tok Pa nak mengharapkan ahli ahli UMNO atau rakyat Kelantan yakin dengan pilihannya? Walaupun imej Dato Wa sudah dihakis dan dikikis, umumnya ramai yang melihat imej baik Tok Pa tak cukup kuat nak digandingkan dengan imej kaki projek, kaki karaoke dan kaki lagak untuk mengejar imej Tok Guru yang sudah sinonim dengan rakyat Kelantan.

Apatah lagi nak mencetuskan suasana kebangkitan baru melalui PRK Manik Urai. Harapan UMNO Kelantan memang tinggi. Lagi pula mereka pernah memenangi kerusi Dun berkenaan sebelum ini. Akan tetapi, Tok Pa kena terima hakikat, apa pun yang dia buat termasuk menyingkirkan kuncu kuncu Dato Wa terutama menyingkirkan Dato Ramzi selaku Setiausaha Perhubungan, harapannya tak akan kemana. Tanpa mengambil kira faktor politiking dalaman, perebutan calon dan lain lain faktor sampingan harapannya pasti berkubur. Rakyat Kelantan masih muak dan mual dengan pemimpin dan parti UMNO. Pemimpin dan parti UMNO adalah musuh rakyat Kelantan yang dibenci siang dan malam. Rakyat Kelantan masih ingat tentang pengakuan Tok Pa bahawa dialah salah seorang menteri kabinet yang menyekat peruntukan ke negeri Kelantan. Rakyat Kelantan bukan lagi boleh diperbodohkan melalui TV atau akhbar. Apatah lagi golongan muda. Usah diharap menyokong UMNO. Mereka lebih selesa dan senang dengan PAS. UMNO akan dikuburkan di Manik Urai.

Skrip - Najib : Al-Altantuya di Mesir

Hebat sekali Hisham Talaat Moustafa seorang ahli politik berpengaruh di Mesir yang telah menggunakan kedudukan dan kekayaannya untuk membunuh kekasih gelapnya Suzanne Tamim yang telah mencipta nama sebagai penyanyi pop melalui program mirip American Idol di Mesir. Berstatus janda, bermata hijau, bersuara lunak serta lenggok tari telah menjadi kegilaan kepada Hisham. Diberikan kehidupan mewah serta terbang dengan jet persendirian adalah umpan yang paling ampuh. Akan tetapi bila hajat tidak tertunai, Mohsen Al Sukkery telah diupah oleh Hisham untuk menjejaki dan membunuh Suzanne. Akhirnya, Suzanne dibunuh. Mohsen ditangkap dan dibicara. Hisham juga telah ditangkap dan dibicara. Keduanya didapati bersalah. Hisham sekarang sedang berhempas pulas pula menggunakan pengaruhnya agar beliau dibebaskan, walaupun Mohsen telah mendedahkan segala galanya mengenai rancangan pembunuhan dan kisah hubungan gelap mereka berdua. Kisahnya menarik sekali. Persis kisah di negara kita. Skrip hampir sama. Pengaruh hampir sama. Cuma bezanya.......... ha ha hi hi hu hu

Saturday, May 23, 2009

Kematian

Salam takziah buat Saudara Raof, Ketua PAS Cawangan Setapak Jaya yang telah kehilangan iparnya Hamzah Marikan yang telah kembali ke rahmatullah siang tadi. Walaupun arwah adalah Ketua UMNO Cawangan Setapak Jaya, hubungan mereka berdua taklah setegang Nizar dengan Zambri. Arwah yang tinggal selang 3 buah rumah dari rumah ambo merupakan seorang yang rajin dan bekerja kuat bagi pihak penduduk Setapak Jaya tanpa mengira fahaman politik. Khidmat terakhir beliau kepada keluarga ambo ialah menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh jiran berbangsa India yang baru pulang dari USA. Sekeras keras jiran tadi, akhirnya akur juga kepada nasihat dan penyelesaian berbudi bahasa yang dibuat oleh arwah. Ambo terima berita kematian sewaktu di Rantau Panjang dan tidak pasti samada Saudara Raof pula berada di Setapak Jaya ataupun di Penanti. Sebelum ini Saudara Raof kematian isterinya, kini adiknya pula kematian suami. Giliran kita menanti...

Umno : NAHAS-GEROH-MAUT

Sesuku pertama zaman Najib, pilihanraya kecil bermula dengan Umno NAHAS di Bukit Gantang. Kemudian dengan tiba tiba ianya menerima GEROH ataupun kecelakaan di Penanti. Akhirnya ia bertemu MAUT di Manik Urai. Harinya akan tiba. SPR rakan kongsi yang sewaktu dengannya sedang menghitung hari untuk menentukan tarikh UMNO akan dikuburkan. Mungkin juga sedang menunggu nunggu dihumbang bersama dengan PRK Perak yang kini dinanti nanti saatnya. Cuba tengok esok lusa...

Friday, May 22, 2009

Perihal Dato Husam

Bila agaknya Dato Husam nak nyatakan pendirian berhubung jawatan Timbalan Presiden masih menjadi teka teki. Mohamad Sabu sudah ke depan. Dato Seri Azizan sudah mohon permisi. Dato' Haron Din juga dah say good bye. Tak banyak hari lagi untuk putuskan kata kata. Nape Dato Husam agak terlewat? Ambo melihat tindakan Dato Husam ini agak teliti dan berhati hati. Dia perlu dilihat tidak tergesa gesa atau terbulaih bagi membuat keputusan besar ini. Ada jugak khabar angin Dato Husam bakal mengambil langkah serupa dengan Dato Seri Azizan dan Dato Haron Din. Sebabnya pun pakai agak agak saja. Dato Husam tidak begitu. Ambo kenal dia secara lebih kurang. Ambo cukup yakin Dato Husam sudah bersedia untuk memikul amanah dan pasti akan menerima pencalonan Timbalan Presiden dalam sehari dua ini. Ambo memilih Isnin 25 Mei (last day) hari terbaik untuk dia menyatakan kesanggupan tersebut.

Dengar khabar jugak 29 Mei nanti Dato Husam akan berdepan dengan Dato Zahid secara live. Pasti ramai akan menanti siaran berkenaan. Kena pulak time pertandingan Timbalan Presiden. Ulasan, kupasan dan terjahannya pasti menarik. Apakah Dato Zahid sudah bersedia untuk menghindarkan kegugupannya yang sering terjadi tanpa disedari semasa berpidato atau berhujah? Yang pasti, ambo yakin Dato Zahid bukanlah Si Khairy yang petah, bijak dan menerjah.

Elok juga lepas ni ada debat antara ahli politik dengan blogger. Minta TV sekali lagi beri peluang kat Dato Husam. Geng blogger pulak kita cadangkan MSO. Baru ada ummphh...


Jumaat - 3 Perkara Besar

Sekembali dari Yala, Thailand lepas solat Jumaat ambo terus terkam lap top. Nak tau kes Mahkamah Rayuan. Bukan nak tau keputusan sangat tapi nak tau samada betul atau tidak firasat ambo bahawa Mahkamah Rayuan PASTI akan menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Keputusannya firasat ambo tak lari walau seinci.

Tersilau pula berita kematian Pak Su Weil seawal pagi tadi. Al Fatihah.... & Takziah kepada ahli keluarga. Allah menyayanginya. Tokoh hebat stail kampung yang amat dikagumi. Terkilan tak sempat ke upacara solat jenazah. Khabarnya diimamkan sendiri oleh Tok Guru. Alhamdulillah... InsyaAllah Solat Hadiah akan menyusul malam nanti.

Blog MSO pula agak mengejutkan. HUSAM MENCARI ALASAN TARIK DIRI - SIASAH BIL 150. Aiik.... ??? Ambo tertanya tanya bila pulak HUSAM terima pencalonan? Belum lagi tu.... Ambo difahamkan HUSAM belum lagi menyerah borang pencalonan TERIMA atau TIDAK. Jadi, apa yang SIASAH BIL 150 tulis tu MELANGKAUI KEMUNASABAHANNYA. Pun begitu, bacaan politik MSO jangan dipandang ringan. Renung tulisannya TUHAN PILIH SIAPA?

Thursday, May 21, 2009

Salam Blog

Fenomena blog nampaknya tidak dapat dielakkan dan dipandang sepi oleh sesiapa lagi. Dari hari ke hari kemeriahan blog cukup terasa dan menjadi percakapan umum. Ia juga turut sama menyinggah minda saya untuk sama-sama memeriahkan alam blog. Kemunculan blog sebagai medium perbincangan berbagai isu-isu sesama baik dalam bidang apa sahaja.

Seperti mana juga nawaitu para blogger mewujudkan laman blog sendiri selain untuk atau akan mencatatkan pengalaman dan pengamatan mengenai isu-isu semasa. Blog ini juga tidak akan terkecuali akan mengintai dan juga mendedahkan apa juga hal ehwal kemasyarakatan yang mungkin tersorot atau sengaja disorotkan yang mempunyai motif tertentu.

Blog ini bukan lah sedia untuk menjadi 'penyiasatan' tetapi mungkin sebagai medan pelapor sesuatu yang dikira wajar ditatap oleh umum.

Bertolak dari itu blog ini akan cuba mengangkat segala yang tersembunyi itu untuk dicari penyelesaian, ataupun akan cuba menyapu segala persepsi buruk yang mungkin boleh membawa kemusnahan kepada mana-mana pihak.

Dengan niat dan harapan itu dengan ini saya membuka medan blog ini untuk kunjungan, tatapan dan ulasan para pelayar dari masa ke semasa. Harapan saya juga semoga setiap komen dan teguran yang diinput nanti adalah bertujuan baik dan bukan bersifat fitnah melulu apatah lagi dengan niat buruk dan terlarang adat dan agama.